Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran kepada mana-mana individu yang memiliki MyKad palsu supaya menyerah diri atau pulang ke negara asal sebelum penggunaan kad identiti digital diperkenalkan tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, MyKad digital itu antara kaedah baharu yang akan diperkenalkan tahun ini bagi membanteras penggunaan MyKad palsu.

"Mereka yang ada fake IC (MyKad palsu) balik secepat mungkin kerana selepas kita guna kaedah MyKad digital, kita akan panggil mereka.

"Kalau gunakan MyKad palsu untuk urusan bank pun kita boleh kesan mereka," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pelancaran Bas Mobile Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan mengumumkan penggunaan digital MyKad secara menyeluruh dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Hamzah berkata, tiga bas bergerak generasi baharu yang dilengkapi kemudahan mencetak MyKad mampu mempercepatkan urusan memperoleh dokumen penting itu dalam tempoh 30 minit.

"Kini pelanggan yang mempunyai urusan permohonan MyKad boleh memperolehnya pada hari yang sama di lokasi bas ini beroperasi.

"Permohonan akan dibuat dalam bas, dicetak dan seterusnya diserahkan pada hari yang sama berbanding sebelum ini pelanggan perlu memohon MyKad dan mengambilnya di mana-mana cawangan JPN," katanya.

Katanya, ketika ini JPN mempunyai tujuh bas mobile iaitu masing-masing dua di Sabah dan Sarawak serta tiga di Semenanjung.

"Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) ini bagi membantu rakyat yang perlu mendapatkan perkhidmatan JPN terutama berada di pedalaman dan luar bandar.

"Sepanjang program ini berlangsung, sebanyak 680 program dijalankan dengan lebih 12,206 permohonan diterima serta 1,293 khidmat nasihat sudah diberikan," katanya.

#kw mykad, palsu, digital, KDN, JPN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:33 PM