LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sah, motosikal ditunggang dua lelaki yang terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong di sini, kelmarin sehingga mencetuskan provokasi terhadap anggota keselamatan tidak ditendang anggota polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, maklumat itu diperoleh hasil rakaman kenyataan direkodkan membabitkan seorang daripada dua lelaki yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

"Kami sudah merakam percakapan seorang daripada dua lelaki terbabit.

"Menerusi keterangan, lelaki terbabit turut mengaku bahawa motosikal mereka tidak ditendang anggota polis seperti yang tular di media sosial," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Menurut beliau, penunggang motosikal terbabit berusia 21 tahun dan bekerja di sebuah hotel manakala pembonceng yang parah berusia 19 tahun serta tidak bekerja.

Remaja yang parah itu masih dirawat di hospital.

Soffian berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa ada tangkapan susulan berhubung kejadian itu.

Kita masih menganalisa gambar dan video yang tular, mungkin ada tangkapan susulan," katanya.

Pada kejadian jam 5.20 petang kelmarin, dua lelaki terbabit cedera selepas terjatuh apabila motosikal ditunggang berlanggar dengan kereta ketika melarikan diri daripada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Ramai yang menularkan video mendakwa kemalangan berlaku selepas motosikal ditunggang kedua-duanya ditendang anggota polis.

Menerusi video yang tular, orang ramai yang tidak berpuas hati mengerumuni serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota URB.

Berita berkaitan

7 lelaki tuduh polis tendang motosikal ditunggang 2 remaja direman

Tujuh ditahan kes provokasi, dakwa polis tendang motosikal

'Bukan ditendang polis, tapi pecut lari hingga langgar kereta'

Siasat dakwaan polis tendang motosikal hingga kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 2:37 PM