Zuhainy Zulkiffli


PEMANDU kereta yang merempuh tiga motosikal dan sebuah kereta di Jalan Thean Teik, Georgetown semalam, ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, perintah tahanan reman diperoleh sehingga Sabtu, untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal mendapati ujian kandungan alkohol dan saringan air kencing terhadap pemandu terbabit didapati negatif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 7.30 malam, dua penunggang motosikal, Song Lin Na, 41, dan Zainudin Ahmad, 58, meninggal dunia selepas dirempuh kenderaan dipandu lelaki yang berusia 20 tahun.

Manakala, penunggang motosikal ketiga, Muhamad Fais Abd Rashid, 21, pula parah dan dihantar ke hospital dan seorang lagi pemandu kereta Shaikh Ahmad Nizam Shaik Abdullah, 41, tidak cedera.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu suspek dari arah Wisma Yatim menghala ke Farlim, bertembung dengan motosikal ditunggang Muhamad Fais.

“Pelanggaran menyebabkan kereta itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal ditunggang Zainuddin dan Song serta kereta Shaikh Ahmad,” katanya.

Berita berkaitan

Dua penunggang maut dirempuh kereta [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 3:49 PM