TUJUH lelaki direman tiga hari di Mahkamah Majistret Georgetown bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas susulan kemalangan di Tanjung Tokong. FOTO Zuhainy Zulkiffli
TUJUH lelaki direman tiga hari di Mahkamah Majistret Georgetown bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas susulan kemalangan di Tanjung Tokong. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tujuh lelaki direman tiga hari sehingga 21 Januari ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan dua remaja lelaki yang menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong di sini, kelmarin.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Georgetown Nur Fadrina Zulkhairi pagi ini.

Kesemuanya yang berusia 23 hingga 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Terdahulu, kesemua mereka ditahan di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong di sini, semalam.

Selain mencetuskan provokasi terhadap anggota polis, kumpulan lelaki terbabit turut mendakwa anggota polis menendang motosikal ditunggang dua remaja itu menyebabkan mereka terbabit kemalangan.

Video dan gambar provokasi itu turut tular di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Polis turut menjalankan siasatan terhadap hantaran di Facebook dan aplikasi WhatsApp yang didapati tidak tepat dan berbaur fitnah sehingga menjejaskan imej polis.

Berita berkaitan

Tujuh ditahan kes provokasi, dakwa polis tendang motosikal

'Bukan ditendang polis, tapi pecut lari hingga langgar kereta'

Siasat dakwaan polis tendang motosikal hingga kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 2:17 PM