MAQIS menggagalkan cubaan membawa masuk 197 kg udang kara air tawar ketika pemeriksaan rutin di kargo KLIA. FOTO ihsan MAQIS
MAQIS menggagalkan cubaan membawa masuk 197 kg udang kara air tawar ketika pemeriksaan rutin di kargo KLIA. FOTO ihsan MAQIS
Murnaena Muhammad Nasir


Sepang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan membawa masuk 197 kilogram (kg) udang kara air tawar bernilai RM33,000 dipercayai dari Indonesia, 16 Januari lalu.

Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, rampasan berkenaan dilakukan ketika pemeriksaan di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 petang.

"Hasil pemeriksaan mendapati udang kara import itu tidak mempunyai sebarang dokumen sah seperti Permit Import MAQIS.

"Pengimportan udang kara tanpa Permit Import MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta 728 yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, MAQIS sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 10:31 AM