PEGAWAI MAQIS menunjukkan kucing yang dirampas kerana tidak mempunyai permit import di Terminal Penumpang Feri Kuah, Langkawi. FOTO ihsan MAQIS
PEGAWAI MAQIS menunjukkan kucing yang dirampas kerana tidak mempunyai permit import di Terminal Penumpang Feri Kuah, Langkawi. FOTO ihsan MAQIS
Hamzah Osman


Langkawi: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan dua kucing yang diimport dari Indonesia di Terminal Penumpang Feri Kuah, di sini, semalam.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, kucing dianggarkan bernilai RM500 itu ditahan sejurus tiba bersama pemilik dengan kapal layar kerana tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh MAQIS.

Pengarah MAQIS Kedah, P Lily Rosalind berkata, pemeriksaan mendapati pengimport gagal mengemukakan permit import, selain tiada sijil kesihatan serta nombor mikrocip pada kedua-dua kucing itu.

"Perbuatan mengimport haiwan hidup tanpa permit import adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lily berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport.

"Pemeriksaan berterusan itu dilakukan bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara," katanya.

Keterangan gambar:

1. Satu daripada dua kucing dari Indonesia yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana tidak mempunyai permit import di Terminal Penumpang Feri Kuah, Langkawi. NSTP/IHSAN MAQIS

2. Pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menunjukkan satu daripada dua kucing yang dirampas kerana tidak mempunyai permit import di Terminal Penumpang Feri Kuah, Langkawi. NSTP/IHSAN MAQIS

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 11:51 AM