BIJI kopi mentah yang dirampas di Pelabuhan Klang Utara. FOTO ihsan MAQIS
BIJI kopi mentah yang dirampas di Pelabuhan Klang Utara. FOTO ihsan MAQIS
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor mematahkan cubaan membawa masuk 4,500 kilogram biji kopi mentah tanpa permit di Pelabuhan Klang Utara, di sini, semalam.

Pengarahnya, Dr Tarmisal Alimin berkata, biji kopi mentah bernilai RM197,000 itu dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Tapak Pemeriksaan Gudang B2, Pelabuhan Klang Utara.

"Pemeriksaan lanjut jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari mendapati kontena yang membawa biji kopi mentah dari Indonesia itu tidak mempunyai Permit Import MAQIS.

"Kesemua dagangan berkenaan dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama membabitkan denda melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tarmisal berkata, pengimportan dagangan keluaran pertanian tanpa mengikut syarat yang ditetapkan boleh mendatangkan kesan buruk terhadap industri pertanian negara.

"Sekiranya biji kopi itu dibawa dari negara yang berisiko dan tidak mematuhi syarat import sepatutnya, ia dikhuatiri membawa ancaman serangan perosak pertanian.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 1:16 PM