BAHAN makanan tambahan haiwan dirampas. FOTO ihsan MAQIS
BAHAN makanan tambahan haiwan dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Rosyahaida Abdullah


BAHAN makanan tambahan haiwan bernilai RM200,000 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor, Isnin lalu, selepas dipercayai cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import yang sah.

Dalam satu kenyataan, Pengarah MAQIS Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan rutin pegawai penguat kuasanya di laluan masuk Pelabuhan Klang Utara mendapati bahan dagangan diimport dari Sepanyol itu tidak memiliki permit import sah MAQIS.

“Kesemua dagangan terbabit kini ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Jelas Dr Tarmisal, MAQIS memainkan peranan penting menjadi benteng hadapan dalam memastikan aktiviti pengimportan dan pengeksportan mematuhi syarat ditetapkan kerajaan.

“Semua import dan eksport berkaitan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisme perlu dipastikan mematuhi semua peraturan yang sudah ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 1:38 PM