Seorang remaja lelaki berusia 15, tahun maut  ketika lemas ketika mandi air banjir di Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling. FOTO Ihsan PDRM
Seorang remaja lelaki berusia 15, tahun maut ketika lemas ketika mandi air banjir di Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling. FOTO Ihsan PDRM
Oleh Roselan Ab Malek


Jerantut: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Lipis jam 3.30 petang tadi, selepas lemas ketika mandi air banjir semalam.

Terdahulu, Mohammad Zamarulhisyam Shaari dikejarkan ke Hospital Jerantut tidak lama selepas kejadian selepas mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Kuala Tembeling.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mazlan Hassan berkata, mangsa dilaporkan bersama tiga rakan bermain dengan mandi air banjir yang melimpah di jalan di Kampung Sangkoh, Kuala Tembeling, jam 4 petang semalam, sebelum dihanyutkan arus.

"Ketika mandi, tiba-tiba mangsa dilihat berada di lokasi air yang agak dalam sebelum lemas. Rakan mangsa kemudiannya berusaha menyelamatkannya namun gagal," katanya.

Menurut beliau, saksi kejadian, Abdul Rais Abdullah, 25, bergegas membantu mangsa dengan menolaknya ke tepi sebelum meminta mangsa berpaut pada tiang elektrik.

"Abdul Rais kemudiannya mendapatkan pelampung diambil dari rumahnya dan terus menolak mangsa ke bahagian yang lebih tinggi sebelum diberikan rawatan Pemulihan Pernafasan dan Jantung (CPR).

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Tembeling," katanya

Mazlan berkata, Mohammad Zamarulhisyam dibawa ke Hospital Jerantut jam 6 petang semalam dengan menaiki bot diiringi pegawai kesihatan Kuala Tembeling.

Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat dan bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 6:16 PM