Ibu mangsa, Rosnaha Ahmad 42, membacakan surah Yasin ketika menemani jenazah dua anaknya, Siti Khadijah Dalili Zulkiflee, 7, dan Muhammad Alee Zulhaikal, 4, (gambar kecil) di bilik mayat Hospital Temerloh. - Foto AMIR HAMZAH NORDIN
Ibu mangsa, Rosnaha Ahmad 42, membacakan surah Yasin ketika menemani jenazah dua anaknya, Siti Khadijah Dalili Zulkiflee, 7, dan Muhammad Alee Zulhaikal, 4, (gambar kecil) di bilik mayat Hospital Temerloh. - Foto AMIR HAMZAH NORDIN
Muhd Fitri Mahassan, 24, menunjukkan lokasi kejadian dua sepupunya yang lemas. - Foto NAZIRUL ROSELAN
Muhd Fitri Mahassan, 24, menunjukkan lokasi kejadian dua sepupunya yang lemas. - Foto NAZIRUL ROSELAN
BERNAMA

Kuantan: Jenazah dua beradik yang maut akibat terperangkap di bawah bot terbalik di Kuala Tembeling, Jerantut, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gemuruh, Pasir Durian, hari ini.

Siti Khadijah Dalili Zulkiflee, 7, dan adiknya Muhammad Alee Zulhaikal, 4, yang lemas selepas bot dinaiki mereka bersama tujuh penumpang lain di Kampung Keluang, Kuala Tembeling, terbalik pada 6.30 petang semalam.

Bapa mereka Zulkiflee Awang Kecik, 43, berkata ketika kejadian dia dan dua lagi anaknya, Siti Umairah Norain, 14, dan Muhammad Hadimran, 11, serta empat anak saudaranya sempat menyelamatkan diri dengan bantuan penduduk kampung.

Anak saudaranya yang selamat ialah Mohd Helmi Joni, 18, dua adiknya iaitu Mohd Zaki, 15, dan Mohd Hanif, 10, serta Mohd Farhan Mansor, 27.

"Kami dalam perjalanan pulang selepas mandi di Sungai Kuala Tembeling apabila bot tiba-tiba terbalik. Saya tak tahu bagaimana bot kami boleh terbalik kerana air sungai tenang dan kami sudah hampir tiba ke tebing," kata Zulkiflee.

Dia menjerit meminta tolong dan anak saudaranya Mohd Fitri Mahasan, 24, serta beberapa orang kampung yang berada berhampiran sungai menyelamatkan mereka.

Mohd Fitri berkata mereka sempat menyelamatkan dua mangsa sebelum dimaklumkan masih ada mangsa terperangkap di bawah bot.

"Kami menyelam semula dan bila kami terbalikkan bot, baharu kami perasan ada orang di bawah bot. Kami menyelam sekali lagi untuk mencari Siti Khadijah serta Muhammad Alee dan berjumpa adiknya yang bongsu.

"Masa itu dia masih hidup kerana saya dengar dia terbatuk-batuk. Kamu cuba selamatkan dia sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Kuala Tembeling. Kakaknya hanya ditemui setengah jam kemudian dan sudah meninggal dunia," katanya.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Azid Ismail mengesahkan kejadian dan berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Jerantut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 8:18 PM