KEADAAN air di Kuala Tahan yang semakin buruk menyebabkan seramai 158 orang pengunjung domestik yang sedang  bercuti terkandas di Taman Negara. FOTO Roselan Ab Malek
KEADAAN air di Kuala Tahan yang semakin buruk menyebabkan seramai 158 orang pengunjung domestik yang sedang bercuti terkandas di Taman Negara. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Seramai 158 orang pengunjung terkandas di Taman Negara Kuala Tahan dekat sini dibawa keluar berikutan banjir sejak dua hari lalu di kawasan Hulu Tembeling.

Mereka terkandas di Kuala Tahan kerana jalan utama Kuala Tahan ke Jerantut ditutup untuk semua kenderaan susulan dinaiki air di kawasan Paya Garok setinggi 1.3 meter.

Ketua Polis Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, pengunjung yang menginap di 19 buah chalet dan pusat inap milik pengusaha tempatan mula dibawa keluar mulai jam 2.40 petang ini menggunakan kenderaan pacuan roda dari Kuala Tahan ke Kampung Paya Garok dekat sini.

"Mereka kemudiannya dibawa dengan bot pihak berkuasa menyeberangi kawasan laluan yang ditenggelami banjir di Kampung Paya Garok dan menaiki kenderaan ke bandar Jerantut.

"Polis menasihatkan pengunjung berkenaan yang masih bercuti di Taman Negara supaya pulang lebih awal memandangkan cuaca musim tengkujuh sehingga ini tidak menentu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, pengunjung dari Lembah Klang dan beberapa negeri lain berkenaan datang ke Taman Negara sebelum kejadian banjir berikutan cuti hujung minggu dan cuti sekolah.

"Kita membawa keluar pengunjung berkenaan apabila air Sungai Tembeling dan anak sungai melimpah dan berlaku banjir di beberapa kawasan dan kemungkinan keadaan bertambah teruk sekiranya hujan berterusan di hulu sungai.

"Kenaikan paras air Sungai Tembeling dan Sungai Pahang daerah ini menyebabkan penempatan dan jalan raya di pesisir sungai dinaiki air, antaranya laluan di Kampung Paya Garok di jalan utama bandar Jerantut ke Kuala Tahan dinaiki air semalam dan tidak boleh dilalui semua kenderaan," katanya.

Katanya, cuma tiga orang petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) cuma masih berada di Kuala Tahan bagi tugasan pemantauan bekalan kuasa elektrik di situ.

Mazlan berkata, polis berharap pengunjung domestik yang merancang percutian ke Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling diminta menangguhkan dahulu rancangan mereka sehingga musim tengkujuh tamat.

Dalam perkembangan yang sama, Mazlan berkata, selain laluan di Paya Garok dan Jambatan Sungai Puai menghala ke Taman Negara ditutup untuk laluan kenderaan, jalan menghubungkan Jerantut ke Lipis turut dinaiki air di Bukit Atap dan Kampung Sepial, manakala Jalan Jerantut ke Jengka 8 yang menghubungkan Kota Gelanggi juga ditutup kerana banjir.

Katanya, bagi laluan Jerantut ke Benta cuma dibenarkan untuk kenderaan berat sahaja memandangkan beberapa laluan masih dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 7:16 PM