Penduduk Kuala Tahan  membantu menarik kenderaan yang tenggelam di pinggir sungai Tembeling, Taman Negara apabila air naik mendadak semalam. FOTO ROSELAN AB MALEK
Penduduk Kuala Tahan membantu menarik kenderaan yang tenggelam di pinggir sungai Tembeling, Taman Negara apabila air naik mendadak semalam. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek

PELANCONG yang pertama kali bercuti di Taman Negara mengalami mimpi ngeri apabila kenderaan utiliti sukan miliknya (SUV) yang diparkir di tepi Sungai Tembeling, Jerantut, ditenggelami air sungai itu, pagi semalam.

Alix Mouret, 47, dari Perancis, berkata SUV Nissan Xtrail itu baru seminggu dibeli dan dia bersama isteri serta dua anak mengambil kesempatan bercuti ke Taman Negara.

Katanya, mereka datang ke Taman Negara pada Sabtu lalu untuk bercuti sambil bekerja dan sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur, semalam.

"Saya datang bersama rakan yang turut membawa isteri dan anak serta rakan sekerja lain.

"Pada 7 pagi semalam, saya terkejut apabila kakitangan tempat penginapan, Mutiara Resort memberitahu saya dan rakan bahawa kenderaan kami tenggelam air sungai Tembeling," katanya.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (dua kanan) mendengar pengalaman pelancong, Alix Mouret dari Peranchis tentang keretanya yang dihanyutkan  sungai Tembeling. FOTO ROSELAN MALEK

Alix berkata, apabila sampai, dia melihat kenderaan mereka hampir tenggelam dan penduduk kampung bertungkus-lumus menariknya agar tidak hanyut dibawa arus.

Katanya, mereka mengambil masa hampir dua jam untuk menarik kereta itu ke tebing dan kejadian dipercayai berpunca akibat 'kepala air' dibawa sungai Tahan berikutan hujan lebat di ulu sungai.

"Saya tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku dan berterima kasih kepada penduduk kampung Kuala Tahan dan pemimpin tempatan kerana banyak membantu kami.

"Malah, mereka turut menguruskan untuk menghantar keluarga kami balik ke Kuala Lumpur dengan van," katanya yang sudah setahun bekerja dengan syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 6 pagi semalam, lima kereta pelancong yang tinggal di Mutiara Resort dan sebuah kereta penduduk tempatan rosak akibat ditenggelami air sungai Tembeling.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 3:01 PM