Sebahagian pelancong mula meninggikan  Taman Negara, Kuala Tahan setelah di arah berbuat demikian bagi memastikan keselamatan mereka. FOTO ROSELAN AB MALEK
Sebahagian pelancong mula meninggikan Taman Negara, Kuala Tahan setelah di arah berbuat demikian bagi memastikan keselamatan mereka. FOTO ROSELAN AB MALEK
RoselanAb Malek

Jerantut: Polis mengarahkan 45 pengunjung yang berada di beberapa tempat penginapan di Kuala Tahan, di sini, meninggalkan lokasi berkenaan dengan segera bagi mengelakkan mereka terkandas.

Ini berikutan paras air Sungai Tembeling di Kuala Tahan mulai naik sejak jam 7 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, berdasarkan trend kenaikan paras air sungai Tembeling bermula di Kampung Bantal, Hulu Tembeling, petang semalam, pihaknya bimbang pelancong terbabit akan terkandas di situ.

Katanya, paras air Sungai Tembeling di Kuala Tahan dijangka meningkat pada petang ini atau esok apabila air dari Kampung Pasir Raja, Hulu Terengganu akan turun di Sungai Tembeling.

"Pihak polis meminta kerjasama pelancong berkenaan keluar dari tempat penginapan masing-masing kerana dibimbangi akan terkandas kerana laluan keluar ke bandar Jerantut bakal ditenggelami.

"Arus deras sungai yang menghilir akan membanjiri laluan ke bandar Jerantut di tiga lokasi di Jalan Kuala Tahan ke Jerantut dan biasanya ditutup untuk semua kenderaan.

"Lokasi yang sering tenggelam ialah laluan Simpang Paya Garok, laluan berhampiran sawmill Jerantut Feri dan laluan Kampung Merting," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak polis mendapat kerjasama baik daripada pengusaha tempat penginapan di Taman Negara yang memberi penerangan jelas kepada pelancong untuk keluar dengan segera dari lokasi itu.

"Kita bimbang pelancong terbabit akan tersekat di Taman Negara, Kuala Tahan dalam jangka masa panjang jika banjir itu berterusan lama sekali gus menyukar mereka.

"Polis juga memantau pergerakan keluar pelancong terbabit mulai pagi tadi dengan bantuan pengusaha pusat penginapan masing-masing.

"Operasi mengeluarkan mereka berjalan lancar sehingga petang ini dan semua pusat penginapan di Taman Negara termasuk di Kampung Kuala Tahan sudah tidak berpenghuni lagi," katanya.

Katanya, pihaknya tidak mahu kejadian 158 pelancong tempatan terkandas di beberapa pusat penginapan pada 17 Disember lalu berulang semula.

"Saya berharap pelancong merancang perjalanan ke Taman Negara pada masa akan datang khususnya datang selepas musim banjir dan cuba mengelakkan percutian pada musim tengkujuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 6:51 PM