GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan empat lagi kluster baharu berkaitan Covid-19 yang dikenal pasti di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Cassia Diamond membabitkan daerah Klang, Kuala Langat, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Gombak serta daerah Barat Daya di Pulau Pinang.

"Kluster kedua pula dikenali sebagai Kluster Pompod membabitkan daerah Kota Belud dan Kudat di Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster kedua dikesan positif pada 13 Disember menerusi saringan individu bergejala.

"Sehingga hari ini, seramai 216 individu disaring, di mana 19 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Kluster ketiga dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Kiara. Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 21 Disember melalui saringan bersasar di tapak binaan, sehingga kini seramai 372 individu disaring dan 13 kes dikesan positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, kluster terakhir dikenalpasti sebagai Kluster Tapak Bina Perkasa iaitu kluster tempat kerja daerah Cheras di Kuala Lumpur.

"Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 22 Disember melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

"Sehingga 25 Disember, seramai 451 individu disaring, di mana 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 7:07 PM