Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sembilan kluster baharu berkaitan Covid-19 yang dikenal pasti di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Sabah, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Seri Lanang yang dikesan menerusi saringan bersasar di sebuah kilang.

"Kluster tempat kerja ini membabitkan daerah Klang, Gombak, Kuala Selangor dan Petaling, seramai 1,020 individu sudah disaring dan 173 daripadanya dikesan positif Covid-19.

"Kluster kedua pula adalah Kluster Jalan Chu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur hasil saringan bersasar di sebuah syarikat membabitkan 44 individu dikesan positif daripada 70 individu disaring.

"Kluster ketiga ialah Kluster Tapak Bina Awan Puteh juga di Lembah Pantai. Sebanyak 29 kes bagi kluster ini dilaporkan positif melalui saringan bersasar di tapak binaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, kluster kelima ialah Kluster Jalan Satang membabitkan daerah Titiwangsa, Kepong, Hulu Langat, Klang, Petaling, Gombak dan Bentong di Pahang.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster itu (kes ke-92,888) adalah kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif Covid-19 pada 20 Disember lalu dan sehingga hari ini seramai 30 individu dikesan positif.

"Kluster keenam pula adalah Kluster Tembok Mempaga di Bentong, Pahang.

"Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-97,373) dilaporkan positif Covid-19 pada 22 Disember lalu melalui saringan tahanan.

"Sehingga hari ini, sejumlah 504 individu disaring yang mana 284 kes dikesan positif dalam kluster ini," katanya.

Menurutnya, terdapat dua kluster dilaporkan di Sabah iaitu Kluster Timbang Dayang membabitkan Kota Belud membabitkan 13 kes positif, manakala Kluster Teguli di Putatan membabitkan 12 kes positif.

Beliau berkata, kluster terakhir adalah Kluster Rambai membabitkan daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka, Petaling di Selangor serta Rembau, Negeri Sembilan.

"Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-10,4441) dilaporkan positif pada 27 Disember lalu melalui saringan individu bergejala. Sejumlah 102 individu disaring dan 16 daripadanya positif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 7:12 PM