Foto hiasan.
Foto hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sembilan lagi kluster baharu berkaitan Covid-19 yang dikenal pasti di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Johor dan Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Harum iaitu kluster tempat kerja membabitkan daerah Johor Bahru di Johor.

"Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada hari ini menerusi saringan bersasar di tempat kerja.

"Sehingga hari ini, seramai 435 individu disaring, sebanyak 206 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kluster kedua pula dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Casuarina membabitkan daerah Sepang dan Petaling di Selangor.

Katanya, seramai 289 individu sudah disaring dengan 53 kes dikesan positif Covid-19.

"Kluster ketiga dikenali Kluster Batu Lapan membabitkan daerah Tambunan, Ranau dan Kota Belud di Sabah.

"Seramai 341 individu disaring, di mana 52 kes dikesan positif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster keempat ialah Kluster Jalan BBN membabitkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dengan 63 individu sudah disaring dan sebanyak 27 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

"Kluster kelima dikenali sebagai Kluster Dewani iaitu kluster tempat kerja membabitkan daerah Johor Bahru di Johor.

"Sehingga hari ini, seramai 147 individu disaring dengan 25 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Kluster keenam pula ialah Kluster Renggam yang juga kluster tempat kerja membabitkan daerah Petaling, Sepang dan Klang di Selangor.

"Untuk kluster berkenaan, seramai 1,000 individu disaring dan 20 kes dikesan positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, kluster ketujuh dikenali sebagai Kluster Belukar membabitkan daerah Machang di Kelantan.

"Seramai 194 individu sudah disaring bagi kluster terbabit, sebanyak 17 kes dikesan positif Covid-19.

"Bagi kluster kelapan, ia dikenali sebagai Kluster Kolam Permai membabitkan daerah Kuala Terengganu dan Kemaman di Terengganu serta daerah Petaling di Selangor.

"Sehingga hari ini, seramai 93 individu sudah disaring dengan sembilan kes dikesan positif.

"Kluster terakhir dikenali Kluster Mador membabitkan daerah Meradong dan Sibu di Sarawak, kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 30 Disember lalu melalui saringan individu dari kawasan berisiko tinggi.

"Seramai 322 individu sudah disaring, di mana lapan kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 7:32 PM