Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti enam kluster baharu Covid-19 di Wilayah Persekutuan Labuan, Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan dan Pahang hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster terbabit adalah Kluster Hujung Pasir, Kluster Lestari, Kluster Desa Idaman, Kluster Tapak Bina Rimbun, Kluster Tanjung Suria dan Kluster Kuala.

Menurutnya, Kluster Hujung Pasir berkaitan dengan tempat kerja dan membabitkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kes indeks bagi kluster itu (iaitu kes ke-82,138) dilaporkan positif Covid-19 pada 12 Disember lalu hasil saringan individu bergejala.

Katanya, seramai 143 individu sudah disaring, lima kes pula dikesan positif Covid-19 sehingga hari ini.

"Bagi Kluster Lestari, ia berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi yang membabitkan daerah Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang di Selangor serta Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster itu (iaitu kes ke-74,963) dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Disember lalu hasil saringan individu bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, 31 kes sudah dikesan positif.

"Kluster Desa Idaman pula berkaitan dengan upacara keagamaan membabitkan daerah Kulai, Johor dengan kes indeksnya (iaitu kes ke-78,315) merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif Covid-19 pada 10 Disember lalu dan dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

"Sehingga hari ini, seramai 52 individu sudah disaring, di mana lapan daripadanya dikesan positif Covid-19," katanya.

Beliau berkata, bagi Kluster Tapak Bina Rimbun pula berkaitan dengan tempat kerja ini membabitkan daerah Seremban, Negeri Sembilan dan kes awal dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 10 Disember lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja yang membabitkan sebuah tapak binaan dengan 16 kes positif setakat ini.

Menurutnya, Kluster Tanjung Suria yang juga berkaitan dengan tempat kerja membabitkan daerah Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di mana kes awal bagi kluster itu dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Disember lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja yang membabitkan dua buah kilang.

"Kluster Kuala juga berkaitan dengan tempat kerja membabitkan daerah Kuantan, Pahang apabila kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-78,483) dilaporkan positif Covid-19 pada 10 Disember lalu hasil saringan individu bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan.

"Sehingga hari ini, seramai 26 individu disaring dan kesemuanya dikesan positif Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 7:37 PM