Foto hiasan
Foto hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan lima lagi kluster baharu berkaitan Covid-19 yang dikenal pasti di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Jalan Bukit iaitu di Hulu Langat, Selangor.

"Kes indeks bagi kluster ini ialah kes ke-67,596 membabitkan pekerja di sebuah tapak binaan yang dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Disember lalu hasil saringan individu bergejala.

"Berikutan kes positif, pihak syarikatnya menjalankan saringan bersasar di tempat kerja sebelum 46 lagi kes dikesan positif Covid-19.

"Sehingga hari ini, seramai 109 individu disaring, 47 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kluster kedua adalah Kluster Tapak Bina Condong membabitkan kawasan Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur.

"Kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 6 Disember lalu menerusi saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan.

"Sehingga hari ini, seramai 291 individu disaring dan 24 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Kluster ketiga pula dikenali sebagai Kluster Tapak Bina Jalan Stadium membabitkan daerah Titiwangsa dan Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikesan positif pada 4 Disember lalu," katanya.

Menurutnya, bagi kluster keempat dikenali sebagai Kluster Jalan Dalam membabitkan daerah Kulai, Batu Pahat dan Johor Bahru di negeri Johor menerusi kes indeks ke-74,278 yang dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Disember menerusi saringan individu bergejala.

"Hingga hari ini, seramai 108 individu disaring, 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Kluster terakhir ialah Kluster Tenun Merah membabitkan daerah Batu Pahat, Johor dan hingga hari ini seramai 287 individu sudah disaring, di mana 23 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 7:33 PM