Zulkifle Ab Rahman (dua kanan) menerima cek zakat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sobella Beauty Sdn Bhd Wan Nur Syuhada Wan Norzie (dua kiri). FOTO / HAZIRA AHMAD ZAIDI
Zulkifle Ab Rahman (dua kanan) menerima cek zakat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sobella Beauty Sdn Bhd Wan Nur Syuhada Wan Norzie (dua kiri). FOTO / HAZIRA AHMAD ZAIDI
Oleh Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) masih memerlukan lebih kurang RM37 juta bagi mencapai sasaran kutipan zakat berjumlah RM210 juta pada tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK Zulkifle Ab Rahman, berkata sehingga semalam, pihaknya sudah berjaya mengutip zakat berjumlah lebih RM175 juta termasuk bayaran zakat secara dalam talian sebanyak RM18.2 juta sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu yang mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, beliau berharap sasaran kutipan zakat ditetapkan sejak awal tahun dapat dicapai dalam tempoh masa yang berbaki lebih kurang seminggu lagi sebelum tahun 2020 berakhir.

"Justeru itu, saya menyeru kepada pembayar zakat di luar sana yang masih lagi membayar zakat agar menunaikannya di kaunter zakat MAIK, masjid atau melalui amil yang sudah dilantik atau membuat pembayaran secara dalam talian.

"Pada masa sama, kita juga mengadakan promosi bagi menarik pembayar zakat antaranya menjalinkan kerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) di mana, pembayar zakat yang membayar zakat melebihi RM10,000 akan dibuka Muamalat Gold Akaun.

"Selain itu, kita juga akan memberi kupon makanan berharga RM20 kepada pembayar zakat yang pada masa sama membantu mempromosikan kedai makan atau restoran yang diusahakan oleh golongan asnaf di bawah MAIK," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan oleh Sobella Sdn Bhd, di pejabat MAIK, Kota Bharu, di sini, hari ini.

Terdahulu Zulkifle menerima cek zakat perniagaan berjumlah RM150,000 selain zakat pendapatan RM55,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sobella Beauty Sdn Bhd, Wan Nur Syuhada Wan Norzie.

Zulkifle berkata, pelbagai program dan bantuan turut dilaksanakan MAIK sepanjang tahun bagi membantu golongan memerlukan dalam meringankan beban yang ditanggung.

"Selain itu, tanggungjawab MAIK juga agak besar kerana kami adalah pemegang amanah dan keutamaan yang sentiasa diterapkan adalah ketelusan aktiviti yang dilaksanakan supaya mendapat keyakinan daripada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 6:49 PM