Syed Ibrahim (tiga dari kiri) menyerahkan cek contoh zakat perniagaan kepada Zulkifle (tiga kanan). FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Syed Ibrahim (tiga dari kiri) menyerahkan cek contoh zakat perniagaan kepada Zulkifle (tiga kanan). FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memohon peruntukan khas wang ehsan daripada Kementerian Kewangan berjumlah RM4.2 juta untuk membina tambahan 80 rumah menerusi Bantuan Rumah Kediaman.

Timbalan Yang Dipertuanya Zulkifle Ab Rahman berkata, peruntukan berkenaan sudah diluluskan dan pihaknya mengadakan perbincangan dengan Ketua Jajahan untuk menghantar senarai penerima asnaf yang layak.

Katanya, Bantuan Rumah Kediaman di bawah MAIK bermula sejak 2004 dan setiap tahun pihaknya membina 160 rumah di atas tanah milik asnaf atau tanah keluarga yang diberikan kebenaran dengan setiap jajahan akan dibina 16 buah rumah untuk golongan asnaf.

"Bagaimanapun pada tahun ini, pihak kami memohon peruntukan wang ehsan untuk membina tambahan 80 rumah kepada asnaf yang terdapat dalam senarai menunggu dan ia dijangka siap pada tahun hadapan.

"Manakala 160 buah rumah lagi sedang dibina dan keseluruhannya hampir siap.

"Dengan adanya peruntukan ini, maka ia sekali gus dapat menyelesaikan senarai penerima yang sedang menunggu untuk mendapatkan rumah melalui Bantuan Rumah Kediaman," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan 2019 dan Perbincangan Kerjasama Strategik Agrobank-MAIK di pejabat MAIK, di sini, hari ini.

Terdahulu, Zulkifle menerima cek perniagaan berjumlah RM142,733 yang diserahkan Pengurus Wilayah Agrobank Kelantan/Terengganu Syed Ibrahim Syed Mohd Al Mashor.

Dalam perkembangan lain, Zulkifle berkata, pada tahun ini MAIK menyasarkan pungutan zakat sebanyak RM210 juta.

"Sehingga semalam, pihak kami berjaya memperoleh kutipan zakat sebanyak RM130 juta dan yakin MAIK akan mencapai sasaran kutipan yang masih berbaki lebih RM80 juta sebelum penghujung tahun ini.

"Pada masa sama, pihak kami turut membuat promosi ke semua jabatan kerajaan negeri dan agensi persekutuan untuk menguar-uarkan agar kakitangan dan pegawai supaya membuat pembayaran zakat melalui potongan gaji.

"Selain itu, kami juga sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membangunkan satu aplikasi bagi memudahkan masyarakat peniaga membuat potongan zakat melalui aplikasi yang dibangunkan dan ia dijangka siap pada Oktober nanti.

"Bukan itu sahaja, kami juga mengadakan seminar zakat perniagaan dengan kerjasama UiTM dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menguar-uarkan mengenai zakat perniagaan.

"Pada tahun lalu, terdapat peningkatan dalam kutipan zakat perniagaan iaitu hampir RM12 juta dan kami yakin dengan kerjasama dan promosi yang dijalankan itu, insya-Allah kutipan zakat perniagaan tahun ini terutama di Kelantan dapat ditingkatkan," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 2:30 PM