SULAIMAN Md Ali menyampaikan sumbangan Krismas kepada penerima. FOTO AMIR MAMAT
SULAIMAN Md Ali menyampaikan sumbangan Krismas kepada penerima. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan Melaka membenarkan semua premis perniagaan di negeri ini beroperasi sehingga jam 2 pagi berkuatkuasa hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, keputusan dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 semalam, turut membabitkan kedai makan, serbaneka, runcit dan pasar raya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun beliau berkata, semua pemilik premis perlu mematuhi syarat serta Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan, termasuk menghadkan jumlah pelanggan di setiap meja mengikut kapasiti meja makan yang disediakan serta memastikan pelanggan melakukan penjarakan fizikal.

"Arahan itu berkuatkuasa serta-merta sehingga tempoh PKPP ditarik balik. Sebarang perubahan berkaitan arahan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa tertakluk kepada keputusan kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya selepas menyampaikan sumbangan Hari Krismas kepada 140 penganut Kristian di Dewan Seri Bendahara, di sini, tadi.

Turut hadir, EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hasan dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Shahrul Lalli Masduki.

Sebelum ini, kerajaan negeri menetapkan masa pengoperasian premis perniagaan, termasuk restoran dan kedai makan dihadkan sehingga jam 12 tengah malam.

Sementara itu, mengulas mengenai kedatangan pelancong ke Melaka selepas kebenaran merentas negeri bermula minggu lalu, Sulaiman berkata, keadaan itu mampu membantu Melaka merealisasikan hasrat menarik seramai 5.6 juta menjelang akhir bulan ini.

Katanya, sehingga Jun lalu, seramai 3.6 juta pelancong berjaya dicatatkan berkunjung ke negeri ini.

"Tahun lalu, kita mencatatkan jumlah pelancong seramai 18.7 juta berbanding sasaran kita iaitu seramai 19 juta, manakala tahun ini pula, kita mensasarkan seramai 20 juta pelancong ke Melaka, namun terpaksa di pinda kerana kekangan penularan wabak Covid-19 yang bermula sejak awal tahun lalu.

"Sehubungan itu, kita hanya meletakkan sasaran seramai 5.6 juta pelancong ke Melaka tahun ini dan saya yakin jumlah itu akan dapat dicapai menjelang akhir bulan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 5:53 PM