KETUA Menteri Datuk Sulaiman Md Ali (duduk tengah) bergambar bersama Mat Kasim Karim (duduk tiga dari kiri) pegawai-pegawai kanan polis sempena mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh. FOTO BERNAMA
KETUA Menteri Datuk Sulaiman Md Ali (duduk tengah) bergambar bersama Mat Kasim Karim (duduk tiga dari kiri) pegawai-pegawai kanan polis sempena mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh. FOTO BERNAMA
BERNAMA

JUMLAH kenderaan memasuki Melaka pada cuti hujung minggu mencatatkan peningkatan sejak awal bulan ini iaitu antara 50,000 hingga 60,000 berbanding ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat memandangkan negeri ini adalah destinasi tumpuan dan lebih banyak kawasan pelancongan mula beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

"Bagi melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, pihak polis menerusi Cawangan Trafik turut mengadakan Op Lancar di lokasi-lokasi strategik.

"Sebanyak 40 polis pelancong juga ditugaskan bagi mengawasi kawasan pelancongan. Anggota polis turut membantu membuat pemantauan bagi memastikan bandar Melaka bebas daripada sebarang jenayah.

"Pelancong-pelancong juga tidak perlu risau kerana saya percaya rakyat di negeri ini mengalu-alukan kedatangan mereka bagi membantu memulihkan ekonomi. Pada masa yang sama kita berharap orang awam terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Terdahulu beliau dan Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sharul Laili Masduki mengiringi Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali melakukan lawatan kerja ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh di Melaka, tadi.

Dalam pada itu, Mat Kasim berkata indeks jenayah di Melaka menunjukkan penurunan sebanyak 27.8 peratus dan ia dilihat jaminan kepada orang ramai mahupun pelancong supaya tidak perlu bimbang untuk melancong ke negeri ini.

Sementara itu, Sulaiman turut merayu kepada rakyat di Melaka supaya tidak menularkan berita palsu yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat sehingga mewujudkan suasana panik yang boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi negeri yang sedang pulih.

"Rakyat sewajarnya merujuk kepada pihak berkaitan terutama membabitkan isu Covid-19 dengan mendapatkan kesahihan daripada Jabatan Kesihatan negeri atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 6:10 PM