MOHD Ali menyampaikan sumbangan makanan kepada anggota pasukan keselamatan di SJR Kuala Linggi, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
MOHD Ali menyampaikan sumbangan makanan kepada anggota pasukan keselamatan di SJR Kuala Linggi, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Usaha mencari seorang lagi nelayan yang hilang di laut masih diteruskan dalam Op Benteng walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) khusus sudah ditamatkan Selasa lalu.

Usaha berkenaan dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) melalui Op Benteng bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI).

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, walaupun SAR khusus di perairan Melaka sudah ditamatkan, usaha mencari Irwan Radjab, 47, masih diteruskan selepas mayat lelaki dipercayai rakannya, Ahmad Norizan Mohamad, 37, ditemukan di Kampung Telok Lechah, Pulau Rupat Indonesia semalam.

"Hari ini kami dimaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia menziarahi mayat lelaki yang kita yakin Ahmad Norizan di Rumah Sakit Dumai.

"Berdasarkan lokasi mayat itu ditemukan penduduk kampung di pantai, ia hanyut kira-kira 39 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu iaitu tempat mereka keluar menangkap ikan pada 13 Januari lalu,"katanya.

Beliau ditemui selepas majlis Taklimat Op Benteng kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Markas Taktikal PPM Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Taklimat disampaikan Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Sharul Lalli Masduki.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Ab Rauf Yusoh dan Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Terdahulu, Mohd Ali menyampaikan sumbangan makanan kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Melaka-Negeri Sembilan berhampiran Jambatan Kuala Linggi, di sini.

Harris berkata, jika ada sebarang perkembangan mengenai penemuan Irwan di wilayah Indonesia, beliau yakin Polisi Republik Indonesia (POLRI) akan memberikan maklumat kepada Konsul Jeneral Malaysia di Medan untuk disampaikan kepada pihak berkuasa di negeri ini.

Bagaimanapun, setakat ini katanya belum ada maklumat sama ada mayat berkenaan sudah dibedah siasat atau sebaliknya.

Harris berkata, pihaknya yakin mayat terbabit adalah Ahmad Norizan berdasarkan lesen memandu tertera nama Ahmad Norizan Mohamad dan beberapa barangan peribadi miliknya yang ditemukan POLRI Daerah Bengkalis.

Selain itu, kerjasama dengan Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru dan Pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Johor Bahru turut mengesahkan mayat terbabit ada kaitan dengan SAR yang dilaksanakan baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:42 PM