Datuk Sulaiman Md Ali. FOTO arkib NSTP
Datuk Sulaiman Md Ali. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan negeri komited merancang pembangunan baharu yang bakal memberi impak positif kepada ekonomi bagi memastikan kemajuan negeri dapat diteruskan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pembangunan itu termasuk mewujudkan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) di kawasan tambak laut seluas 6,000 hektar sepanjang 22 kilometer.

Katanya, kawasan bermula dari Umbai di Jasin hingga ke Tanjung Bruas, di sini, bakal menjadi koridor ekonomi baharu di negeri ini.

"Selain M-WEZ, kita juga akan menubuhkan satu lagi daerah penuh iaitu Daerah Masjid Tanah serta berusaha menuju ke arah pendigitalan dan bandar pintar serta pembangunan industri berteknologi tinggi.

"Pada masa sama, beberapa pembangunan lagi seperti Stesen High Speed Rail (HSR), Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) dan Pembinaan Infrastruktur Waste to Energy (WTE) di Sungai Udang juga akan dibangunkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan taat setia bersempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini hari ini.

TUN Mohd Ali bersama isteri, Toh Puan Asmah ketika hadir ke acara Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Utama sempena Sambutan Hari Jadi ke-71 Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Melaka di perkarangan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Turut bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. FOTO Iqmal Haqim Rosman
TUN Mohd Ali bersama isteri, Toh Puan Asmah ketika hadir ke acara Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Utama sempena Sambutan Hari Jadi ke-71 Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Melaka di perkarangan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Turut bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada promosi menggunakan platform digital bagi merancakkan kembali industri pelancongan negeri pasca Covid-19.

Beliau berkata, perkara itu penting dalam usaha memulihkan kembali Melaka sebagai negeri pelancongan memandangkan sektor berkenaan menjadi antara yang teruk terkesan.

Katanya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri giat menjalankan kempen, dan terbaru menggunakan platform digital yang dinamakan Melaka eXcess.

"Tagline baharu iaitu 'Melaka Safe Haven' dan 'Melaka Is The Place To Be' diwujudkan bagi menggambarkan Melaka adalah sebuah negeri yang selamat dan bersih untuk dikunjungi sebagai destinasi percutian pilihan.

"Selain itu, promosi Melaka sebagai sebuah pusat percutian dan pelancongan menarik, diperhebatkan lagi melalui kempen Dream Now Travel Later (DNTL) dengan menggunakan platform Melaka eXcess," katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, setakat Januari hingga Jun lalu Melaka hanya merekodkan seramai 3.01 juta pelancong ke negeri ini ekoran penularan pandemik Covid-19 yang mula menular sejak Februari lalu.

"Susulan itu, kerajaan negeri menetapkan sasaran 5.6 juta pelancong sepanjang tahun ini berbanding 18.73 juta yang direkodkan tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 1:45 PM