ANGGOTA bomba ketika menyelamatkan mangsa dalam kemalangan di Parit Setongkat, Jalan Salleh, Muar. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba ketika menyelamatkan mangsa dalam kemalangan di Parit Setongkat, Jalan Salleh, Muar. FOTO Ihsan Bomba
Essa Abu Yamin


Muar: Seorang wanita maut manakala suami dan anaknya parah selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh kenderaan lain yang keluar simpang secara melulu di Persimpangan Parit Setongkat, Jalan Salleh di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam kejadian jam 2.07 pagi itu, Nor Aina Farahin Jai, 31, yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan anggota badan.

Manakala, suaminya, Muhammad Alliashia Othman, 37 yang memandu Proton Exora itu serta anak tirinya, Aliya Farhana Abdullah, 10, Alif Farahin, 7 dan Alif Siraj, 3 yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera parah di kepala.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki lima beranak itu dalam perjalanan menghala ke Pagoh.

"Tiba di tempat kejadian, sebuah kereta Honda Accord dari sebelah kanan secara tiba-tiba keluar dari persimpangan Parit Setongkat menuju ke Jalan Salleh.

"Akibatnya, kereta dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun itu merempuh Proton Exora terbabit menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Akibat kemalangan terbabit, pemandu Honda Accord itu turut mengalami kecederaan retak tulang kaki dan masih tidak sedarkan diri.

"Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, untuk diberikan rawatan," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 2:34 PM