KEADAAN lori dan motosikal yang terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Parit Putat, Sungai Rambai hari ini. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN lori dan motosikal yang terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Parit Putat, Sungai Rambai hari ini. FOTO Ihsan Polis
Meor Riduwan Meor Ahmad


Jasin: Akibat langgar lampu isyarat, pelajar tingkatan tiga parah apabila motosikalnya dilanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Parit Putat, Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian pada 2.50 petang itu, menyebabkan mangsa Muhammad Iqram Rosli, 15, patah tangan dan parah di badan.

"Siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Muar menghala ke Jasin, dan sebaik sampai di persimpangan lampu isyarat AMJ Parit Putat, pemandunya meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat hijau.

"Namun, secara tiba-tiba sebuah motosikal Honda Wave dari arah jalan Pekan Sungai Rambai keluar simpang menyebabkannya dilanggar lori yang tidak sempat membrek dan mengelak.

"Akibat perlanggaran, penunggang motosikal yang juga pelajar Sekolah Menengah Sungai Rambai patah tangan dan parah di badan manakala pemandu lori tidak cedera," katanya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Jamil berkata, mangsa dibawa oleh ambulans ke Hospital Muar dan kini dirawat di zon merah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 20 saat mengenai nahas itu yang dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 10:24 PM