GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes ragut yang berlaku di sekitar Sentul di sini dengan penahanan dua lelaki tempatan dalam tangkapan berasingan di daerah itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas salah seorang daripadanya ditangkap orang awam ketika cuba meragut wanita di hadapan sebuah bank di Jinjang Utara, petang semalam.

"Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 21 tahun hendak membayar makanan sebelum datang seorang lelaki menaiki motosikal menarik beg tangannya, bagaimanapun mangsa tidak melepaskan beg tangannya sebelum terjatuh di atas jalan.

"Suspek tidak sempat mengambil beg tangan mangsa dan terus memecut motosikal untuk melarikan diri namun terlanggar kereta sebelum terjatuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, orang awam yang melihat kejadian itu kemudian membantu menangkap suspek sebelum menghubungi pihak polis.

"Soal siasat ke atas suspek berusia 25 tahun itu mendapati dia mengaku cuba meragut mangsa dan semakan mendapati motosikal yang digunakan ketika melakukan jenayah itu bukan motosikal curi.

"Siasatan lanjut ke atasnya membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 27 tahun di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin, Jalan Jinjang Utara jam 11 malam tadi," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas satu beg galas berisi wang tunai RM3,000 serta enam telefon bimbit.

Katanya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes ragut manakala seorang lagi suspek tiada rekod jenayah lampau.

"Kita berterima kasih kepada orang awam yang membantu dan dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini. Kita berjaya menyelesaikan 10 kes ragut yang berlaku di daerah Sentul sepanjang tahun ini.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 8:46 PM