Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Menyamar sebagai penghantar makanan sebelum meragut.

Itu dilakukan kumpulan peragut dikenali sebagai Geng Ashmer yang aktif melakukan kegiatan ragut di sekitar kawasan Sentul sejak lima bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka berakhir selepas empat ahli kumpulannya ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu kota pada 23 hingga 28 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyamar sebagai penghantar makanan.

"Suspek akan mengesan mangsa menggunakan dua motosikal, salah seorang daripadanya bertindak sebagai penjaga 'line' manakala seorang lagi sebagai 'striker'.

"Barangan yang diragut seperti rantai emas akan dijual kepada seorang individu dan wang hasil jualan akan dibahagi sesama ahli kumpulan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

ANTARA barang rampasan kes ragut. FOTO Aswadi Alias
ANTARA barang rampasan kes ragut. FOTO Aswadi Alias

Eng Lai berkata, hasil tangkapan semua suspek, polis berjaya merampas pelbagai barang dipercayai hasil ragut dan samun antaranya 36 rantai emas, beg penghantar makanan dan telefon pintar pelbagai jenama.

"Semua rampasan barang kemas dianggarkan bernilai RM50,000. Semakan rekod lampau mendapati tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Dengan tertangkapnya semua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes kecurian dan 10 kes ragut di sekitar daerah ini," katanya.

Menurutnya, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan diri.

"Orang ramai yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkenaan kegiatan ragut boleh menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 2:08 PM