Zaid Salim

Setiu: Paras air sungai utama di beberapa daerah di Terengganu khususnya di daerah ini dan Hulu Terengganu mulai meningkat pada paras berjaga-jaga berikutan hujan lebat sejak awal pagi, hari ini.

Keadaan itu menyebabkan beberapa jalan di kampung di kawasan terbabit ditenggelami air dan ditutup kepada kenderaan ringan.

Tinjauan di Kampung Pelong, di sini, mendapati paras air sungai di Kampung Tok Nandong, dekat sini, melebihi satu meter.

Malah, limpahan air sungai berkenaan di Kampung Pelong, di sini, turut menjejaskan kawasan Taman Pelancongan Konservasi Kelah di kampung itu yang ditenggelami air sedalam lebih satu meter.

Penduduk, Sulaiman Daud, 40, berkata hujan lebat berterusan sejak 3 pagi hari ini menyebabkan paras air di sungai itu naik secara mendadak.

"Saya menjangkakan paras air semakin meningkat dan sekiranya hujan berterusan, penduduk yang tinggal di kawasan rendah berdepan banjir," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, berdasarkan keadaan cuaca semasa, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga bagi menghadapi bencana itu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan di semua kawasan berisiko khususnya penempatan di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

"Kami beri tumpuan di beberapa kawasan pedalaman sering dinaiki air di lima daerah iaitu Hulu Terengganu, Hulu Besut di Besut, Kemaman, Dungun dan Setiu.

"Penduduk tinggal berhampiran sungai dinasihatkan agar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan peka dengan keadaan semasa," katanya.

TAMAN Pelancongan Konservasi Kelah di Kampung Pelong, ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter. FOTO Zaid Salim
TAMAN Pelancongan Konservasi Kelah di Kampung Pelong, ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter. FOTO Zaid Salim

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 7:50 PM