Keadaan banjir di PKGK Kuala Gandah. FOTO ihsan PKGK
Keadaan banjir di PKGK Kuala Gandah. FOTO ihsan PKGK
Mohd Rafi Mamat


HUJAN lebat di bahagian hulu Sungai Teres, di Temerloh, malam semalam, menyebabkan banjir kilat di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, hari ini.

Justeru, pusat pelancongan menempatkan 24 gajah itu ditutup kepada pengunjung hari ini berikutan limpahan air sedalam satu meter yang turut menjejaskan pejabat pentadbiran.

Pengarah PKGK Nasharudin Othman berkata, air mula naik malam semalam hingga memaksa kakitangan memindahkan sebahagian gajah ke kawasan bukit berhampiran.

Katanya, banjir kilat itu menyebabkan hampir keseluruhan kawasan rendah ditenggelami air.

Beliau berkata, seramai 20 orang terdiri daripada isteri dan anak kakitangan PKGK yang tinggal di kuarters sudah dipindahkan ke balai raya berhampiran oleh anggota bomba dan penyelamat menggunakan bot.

“Operasi memindahkan sebahagian gajah yang berada di kawasan dinaiki air bermula malam semalam, kita terpaksa memindahkan haiwan berkenaan ke bukit berhampiran," katanya ketika dihubungi.

Nasharuddin berkata, pihaknya akan memindahkan sebahagian lagi gajah ke hutan berhampiran jika paras air terus naik dan membahayakan nyawa haiwan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 6:49 PM