Penduduk membawa barangan keperluan harian untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi tadi ketika tinjauan di Perumahan Rakyat Telok Kalong. FOTO GHAZALI KORI
Penduduk membawa barangan keperluan harian untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat sejak pagi tadi ketika tinjauan di Perumahan Rakyat Telok Kalong. FOTO GHAZALI KORI
Zaid Salim


Chukai: Susulan hujan berterusan di seluruh negeri ini menyebabkan ada kawasan rendah dan berhampiran sungai dinaiki air separas antara 0.5 hingga lebih satu meter.

Fenomena air pasang besar juga menjadi punca utama banjir fasa empat bagi tahun ini lebih buruk berbanding fasa sebelumnya yang bermula sejak akhir November lalu.

Pertembungan air hujan dan fenomena itu turut mengakibatkan beberapa jalan utama di Kemaman, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu ditutup kepada semua kenderaan apabila jalan terbabit ditenggelami air antara 0.5 hingga 1.5 meter.

Di Kemaman, enam jalan ditutup kepada kenderaan iaitu Jalan Teladas-Air Putih yang ditutup kepada semua kenderaan apabila air melepasi jambatan lama Teladas sedalam satu meter membabitkan jarak sejauh 200 meter.

Jalan Lubuk Lesung sejauh 300 meter ditutup kepada semua kenderaan apabila laluan di simpang tiga Kampung Lubuk Lesung-Pelantoh ditenggelami air sedalam 1.2 meter.

Jalan lain yang ditutup kepada semua kenderaan adalah Jalan Pelantoh di Kampung Pelantoh sepanjang 250 meter dan Jalan Chukai-Air Putih di Kampung Seberang Tayor sepanjang 149 meter selepas ditenggelami air sedalam 1.5 dan 1.2 meter.

Manakala dua lagi jalan di daerah ini iaitu Jalan Payoh-Kemasik di Kampung Baru Kemasik sepanjang 300 meter dan Jalan Kerteh-Batu Putih iaitu laluan bawah kabel pencawang sepanjang 400 meter ditutup kepada kenderaan ringan selepas ditenggelami air pada kedalaman 0.5 dan 0.4 meter.

Di Hulu Terengganu, dua jalan ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Kampung Bulih-Kuala Por-Dusun-Kuala Pueh sepanjang 30 meter dan Jalan Bukit Diman-Tersat di Kampung Pengkalan Ajal sepanjang 90 meter yang dinaiki air sedalam 0.75 meter.

Manakala dua lagi jalan ditutup kepada kenderaan iaitu jalan berhampiran Kampung Matang, Telemong ditenggelami air sedalam 0.4 meter membabitkan jarak 100 meter dan Felcra Pasir Pelata Jalan Pengkalan sejauh 50 meter sedalam 0.37 meter.

Jalan Air Terjun Chemerung dan Jalan Kampung Kuala Jengai di Dungun dan Kampung Besut dan Mak Bakas, Pelong di Setiu turut ditutup.

Pengguna jalan raya dinasihati tidak melalui jalan berkenaan sebaliknya menggunakan jalan alternatif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 1:17 PM