Azmi  Shah (dua dari kanan) bersama  guru bergotong-royong membersihkan Tadika Kemas Kampung Cemperai, Dengkil hari ini. Foto Samadi Ahmad
Azmi Shah (dua dari kanan) bersama guru bergotong-royong membersihkan Tadika Kemas Kampung Cemperai, Dengkil hari ini. Foto Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Dengkil: "Ini kali keempat banjir akibat limpahan air luar biasa di Sungai Langat sejak Januari lalu," kata Pengerusi Tadika Kemas Kampung Cemperai Azmi Shah Abdullah Sani, 47.

Menurutnya, banyak perkakas termasuk barangan elektrik, perabot dan buku rosak akibat ditenggelami banjir yang berlaku awal pagi Rabu lalu.

Katanya, dia tidak menyangka air sungai melimpah sehingga mencecah lebih satu meter sekali gus menyebabkan banyak barangan rosak dan tidak sempat diselamatkan.

Azmi Shah yang juga Ketua Kampung Semarang, Dengkil berkata, kali terakhir banjir terburuk berlaku di kawasan itu pada 2012.

"Banjir kali ini menyebabkan tadika Kemas itu memerlukan RM50,000 untuk menggantikan peralatan yang musnah.

"Penduduk pernah mencadangkan supaya pihak berwajib membina benteng di sungai berkenaan bagi mengelak banjir berulang," katanya ketika ditemui sedang membersihkan tadika itu pada hari ini.

Rabu lalu, Kampung Cemperai dilanda banjir menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Dengkil, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Sekolah Rendah Agama Dengkil.

Seorang penduduk, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Muhammad Ilham Zainal, 19, berkata, dia sekeluarga sudah lali dengan kejadian banjir di kawasan berkenaan yang melanda antara dua hingga tiga kali setahun.

Menurutnya, dia bersama lima adik-beradik terpaksa berpindah ke PPS pada Rabu lalu sebelum dibenarkan pulang semalam.

"Kerugian dialami melebihi RM3,000. Kami terpaksa membaiki pintu bilik yang rosak dan jubin lantai yang tercabut akibat air bertakung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 4:59 PM