GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang wanita kerugian RM45,000 selepas ditipu bomoh dengan menyerahkan barangan kemas kepada suspek kononnya untuk tujuan perubatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang berusia 44 tahun bekerja sebagai kerani, sudah berkahwin dan menetap di Padang Sanai, Kuala Nerang.

"Kejadian berlaku pada hujung Januari lalu apabila bomoh itu yang juga saudara rapat mangsa memberitahunya, ada makhluk halus jatuh di atas bumbung rumahnya.

"Suspek yang juga lelaki berusia 50 tahun itu kemudian memberitahu mangsa yang barangan kemas dalam rumah mangsa akan mendatangkan mudarat kepadanya.

"Mangsa yang percayakan suspek kemudiannya menyerahkan barangan kemas itu kepada lelaki terbabit," katanya pada kenyataan hari ini.

Elias berkata, barangan kemas itu kemudiannya dibalut dengan kain putih dan disimpan dalam almari baju dalam bilik mangsa.

Pada masa sama, tiada sesiapa pun yang dibenarkan menyentuh kain itu kecuali suspek.

Beliau berkata, seminggu kemudian, suspek datang ke rumah mangsa dan memeriksa barangan kemas berkenaan.

"Suspek kemudiannya menyerahkan tiga cincin emas kepada mangsa dan menyatakan cincin itu boleh dipakai semula.

"Namun pada 8 September lalu, mangsa dimaklumkan oleh orang kampung yang pernah diperdaya suspek dengan menggunakan taktik sama," katanya.

Elias berkata, mangsa kemudian membuka balutan kain putih terbabit dan mendapati barangan kemas itu sudah diganti dengan barangan emas tiruan.

"Mangsa melaporkan kejadian di Balai Polis Padang Sanai di Padang Terap pada 25 Oktober lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Pada masa sama, ada empat laporan lain membabitkan taktik dan suspek sama dibuat di Padang Sanai pada 25 Oktober lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 2:46 PM