Norsyazwani Nasri


SINDIKET ‘bomoh palsu’ di Sarawak dikesan kembali aktif selepas dua kes di dua lokasi berbeza di negeri ini dilaporkan, semalam.

Kes terbaru itu membabitkan penipuan terhadap dua wanita di Padawan dan Kuching yang menyebabkan kerugian RM292,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa berusia 55 dan 68 tahun.

Beliau berkata, kes penipuan di Padawan membabitkan peniaga yang mengalami kerugian berjumlah RM192,000.

“Kejadian berlaku pada 11 April lalu ketika mangsa berkunjung ke Pasar Tamu MJC Batu Kawa dan terserempak dengan tiga wanita tidak dikenali memberitahu hajat untuk mencari sejenis daun bagi mengubati penyakit kulit yang menyerang anak seorang daripada mereka.

“Kemudian suspek mendakwa rumah yang didiami mangsa itu di Jalan Stephen Yong berhantu sejak sembilan tahun lalu,” katanya.

Katanya, anggota sindiket itu kemudian menawarkan diri untuk menghalau roh jahat berkenaan dengan syarat dilangsungkan upacara sembahyang di rumahnya dan mangsa perlu menyerahkan wang simpanan dan barangan kemas miliknya.

“Pada hari sama wanita itu diiringi seorang suspek mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM 180,000 di sebuah bank di Batu 3, Kuching.

“Selepas mengeluarkan wang simpanan, wanita itu menyerahkan wang tunai dan pelbagai barangan kemas miliknya kepada suspek di tempat letak kereta di MJC Batu Kawa.

“Suspek kemudiannya menyerahkan satu bungkusan yang mampu menghalau roh jahat itu di kediamannya. Syaratnya bungkusan berkenaan hanya boleh dibuka seminggu kemudian,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuka bungkusan itu seminggu kemudian dan mendapati hanya terdapat dua botol air mineral dan empat kotak air soya.

Dalam kes berasingan, Mustapha berkata, ia membabitkan suri rumah yang kerugian RM 100,000 Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 2:56 PM