PENGGUNAAN ‘glyphosate’ dan racun rumpai berasaskan bahan itu memberi kesan ke atas kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar. FOTO Arkib NSTP
PENGGUNAAN ‘glyphosate’ dan racun rumpai berasaskan bahan itu memberi kesan ke atas kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian & Industri Makanan (MAFI) dan Lembaga Racun Makhluk Perosak (MRLP) supaya mengharamkan penggunaan 'glyphosate' dan racun rumpai berasaskan bahan itu kerana ia memberi kesan ke atas kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar.

Malah bahan itu juga dikategorikan sebagai karsinogen yang boleh menyebabkan barah kepada manusia serta pelbagai masalah kesihatan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, individu yang terdedah kepada racun rumpai itu lebih berisiko mengalami barah yang dipanggil 'non-Hodgkin limfoma' (NHL).

Katanya, bukti itu amat membimbangkan berikutan glyphosate paling banyak digunakan dalam racun rumpai.

"Dilaporkan bahawa kira-kira 8.6 bilion kilogram racun rumpai berasaskan glyphosate sudah disembur di seluruh dunia sejak 1974.

"Penggunaannya sudah meningkat 15 kali ganda sejak tanaman kejuruteraan genetik diperkenalkan pada 1996 yang mana majoriti daripadanya adalah tanaman kejuruteraan genetik (GE) toleran glyphosate," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohideen, kebimbangan mengenai kesan kesihatan glyphosate memuncak apabila Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan racun rumpai itu sebagai kemungkinan karsinogen kepada manusia pada 2015.

Katanya, ia bertambah runcing dengan peningkatan bukti bahayanya kepada manusia dan saman undang-undang terhadap pengeluarnya (Monsanto).

Individu yang terdedah kepada racun rumpai berasaskan glyphosate mempunyai 41 peratus peningkatan risiko mendapat NHL.

"Walaupun tidak terdedah, tetapi sisa atau residu glyphosate boleh memasuki tanaman GE menerusi rantaian makanan.

"CAP sudah menghantar memorandum kepada MAFI dan LRMP pada 25 September lalu berhubung gesaan ini," katanya.

Menerusi laman sesawang Jabatan Biokeselamatan Malaysia, ia mendedahkan bahawa, daripada 40 tanaman GE diluluskan bagi makanan, makanan haiwan dan pemprosesan, 11 daripadanya toleran kepada glyphosate.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 3:09 PM