Mohideen Abdul Kader
Mohideen Abdul Kader
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya melindungi kesihatan orang ramai dan melaksana dasar serta amalan baik bagi mengurangkan pelepasan pencemaran dengan ketara.

Ia susulan lima sektor yang dikenal pasti di peringkat antarabangsa sebagai sumber utama pencemaran udara didorong oleh manusia iaitu pengangkutan, industri, sisa, pertanian dan isi rumah, yang dikaitkan dengan pelepasan karbon serta bahan kimia ke udara.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 99 peratus masyarakat kini menghirup udara tidak selamat yang menjadi penyebab kepada angin ahmar, penyakit jantung dan paru-paru, barah dan lain-lain lagi.

Katanya, secara global, udara tercemar membunuh 6.7 juta individu setiap tahun dan 2.4 bilion orang terdedah kepada paras berbahaya pencemaran udara isi rumah.

"Sempena sambutan Hari Udara Bersih Antarabangsa yang disambut pada 7 September setiap tahun, CAP menggesa supaya peraturan baharu dikeluarkan kerajaan bagi mengurangkan bahan pencemar udara berbahaya daripada sumber perindustrian.

"Antaranya, melaksana pelan tindakan kualiti udara tempatan dan negara selain memperkenal dasar yang meningkatkan akses kepada sumber tenaga bersih serta tidak mencemar di semua rumah.

"Kualiti udara perlu sentiasa dipantau dan semua sumber pencemaran dinilai serta ditangani dengan segera, sementara perniagaan pula perlu dipaksa menggunakan amalan lestari daripada segi ekologi, ekonomi dan sosial yang boleh mengurangkan pencemaran udara," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, pengangkutan awam percuma di kawasan bandar perlu disedia kepada orang awam bagi meningkat kesedaran serta menggalakkan mereka meninggalkan kereta di rumah.

Selain menganjur jalan bebas kereta, Mohideen berkata, perlu diwujudkan juga laluan mesra alam kepada pejalan kaki dan penunggang basikal serta mencipta ruang hijau di bandar bagi membantu menghilangkan beberapa bahan pencemar.

"Pihak berkuasa juga perlu menjalankan kempen awam secara berkala dengan menasihati orang ramai supaya mengurangkan sisa, kompos makanan, kitar semula sampah bukan organik, guna semula beg runcit dan tidak membakar sampah.

"Orang ramai perlu beralih kepada diet kaya tumbuhan, kurangkan produk plastik sekali guna dan pertimbang cara mengembara melalui kaedah kurang pencemaran," katanya lagi.

Sehubungan itu, CAP menasihati pengguna supaya mengelak daripada menghabiskan masa terlalu lama di tempat yang mana pencemaran terkumpul seperti jalan raya yang sibuk.

"Jika berjalan kaki atau berbasikal, gunakan laluan yang jauh dari jalan yang sesak dan ia boleh mengurangkan separuh daripada pendedahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 12:53 PM