ALAT mainan plastik yang didapati mengandungi bahan kimia beracun dipanggil parafin berklorin. FOTO ihsan CAP
ALAT mainan plastik yang didapati mengandungi bahan kimia beracun dipanggil parafin berklorin. FOTO ihsan CAP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebanyak 123 bahan kimia dikesan terkandung dalam pelet plastik kitar semula di Malaysia menerusi dua sampel dianalisis dan didedahkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, sebanyak 107 bahan kimia dikesan pada sampel pertama dan 111 dalam sampel kedua manakala sejumlah 95 bahan kimia lain juga terdapat dalam kedua-dua sampel itu.

Katanya, 30 bahan kimia yang dikesan adalah pada kepekatan tertinggi manakala sebahagian lagi adalah kesan daripada peringkat pengeluaran pelbagai jenis plastik.

"Sejumlah 30 bahan kimia ini juga termasuk beberapa bahan bioaktif seperti racun perosak chlorpyrifos dan farmaseutikal selain tiga Hidrokarbon Aromatik Polisiklik (PAH).

"Data yang diterbitkan ScienceDirect itu mendedahkan terdapat hampir 500 bahan kimia dalam pelet plastik kitar semula termasuk racun perosak, bahan kimia industri, polychlorinated biphenyls (PCB) dan bahan toksik lain menerusi sampel daripada tiga belas negara termasuk Malaysia," katanya pada sidang media di sini, tadi.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, ujian itu dijalankan sekumpulan saintis di Sweden, Jerman dan Denmark sebelum diterbitkan ScienceDirect, baru-baru ini.

Katanya, sebagai ahli International Pollutants Elimination Network (IPEN) iaitu rangkaian global kumpulan berkepentingan awam yang berjuang bagi masa depan bebas toksik.

"Data ini amat relevan sekarang bagi makluman delegasi dari Malaysia yang akan mengambil bahagian dalam rundingan Perjanjian Plastik Global di Ottawa, Kanada pada akhir bulan ini.

"Menerusi perbincangan dalam rundingan itu sesetengah negara memilih pendekatan yang akan bergantung kepada kitar semula plastik sebagai kaedah penting bagi menyelesaikan krisis plastik.

"Tetapi data baharu menambah bukti bahawa kitar semula plastik adalah vektor bagi penyebaran bahan kimia toksik dan oleh itu ia tidak boleh dianggap sebagai kaedah berguna dalam usaha menamatkan ancaman kesihatan serta alam sekitar daripada plastik," katanya lagi.

Menurut Mohideen, bahan kimia yang terdapat dalam plastik kitar semula mungkin mendedahkan manusia kepada kanser, penyakit jantung, gangguan pembiakan, diabetes, obesiti dan keadaan kesihatan serius yang lain.

"Kitar semula adalah bukan jalan keluar daripada masalah plastik toksik. Banyak laporan sebelum ini mendapati bahawa kitar semula plastik adalah vektor untuk menyebarkan bahan kimia toksik," katanya.

Beliau berkata, plastik diperbuat daripada kira-kira 16,000 bahan kimia dan sekurang-kurang 25 peratus daripadanya diketahui bertoksik manakala bagi kebanyakan bahan kimia yang tinggal tiada maklumat mengenai kesan kepada kesihatan manusia atau alam sekitar.

"Plastik kitar semula juga boleh mengandungi bahan cemar kimia daripada cara penggunaan plastik asal sebagai contoh, jika bekas plastik racun perosak dikitar semula, racun perosak toksik boleh berakhir di dalam bahan kitar semula.

"Selain itu, proses kitar semula plastik boleh mencipta bahan toksik baharu, menambahkan lebih banyak bahan kimia kepada plastik kitar semula.

"Ia bermakna pekerja di fasiliti kitar semula plastik, pengguna yang menggunakan produk plastik kitar semula, pekerja yang mengendalikan plastik kitar semula dan komuniti berhampiran kilang kitar semula dan operasi pelupusan sisa semuanya berisiko terdedah kepada pelbagai bahan kimia toksik," kata Mohideen.

GEORGETOWN 18 APRIL 2024. Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader, di Jalan Masjid Negeri di sini, menunjukkan pelet plastik yang dikesan mengandungi toksik, dalam bahan plastik. NSTP/ IHSAN CAP​

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:43 PM