GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan penggunaan racun tikus dalam bentuk tablet (pelet) di pasaran negara ini.

Gesaan itu berikutan terdapat beberapa kes haiwan peliharaan penduduk mati selepas termakan tablet beracun berkenaan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, pemilik haiwan itu mendakwa melihat ada pihak melempar tablet beracun itu ke rumput di sepanjang jalan yang dikatakan bagi menghapuskan tikus dan gagak.

Menurutnya, jika ia dilemparkan ke tanah begitu pihaknya bimbang binatang atau kanak-kanak mungkin mengutip dan memakannya.

"Malangnya anjing milik penduduk mungkin turut termakan tablet yang bertaburan itu dan mati beberapa hari kemudian.

"Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) juga sudah mengharamkan racun tikus dalam bentuk pelet," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohideen berkata, menurut EPA kanak-kanak khususnya berisiko terdedah kepada racun tikus kerana produk itu biasanya diletak di atas lantai yang mana kanak-kanak boleh mengutip dan memakannya.

"Tablet berkenaan berbahaya kerana bran dan molases yang kadang kala dicampurkan kepadanya membuatkan ia kelihatan sedap kepada kanak-kanak dan haiwan.

"Malah ada ketikanya hidupan liar akan mendapatkan tikus yang bergerak perlahan akibat termakan racun yang akhirnya ia sendiri turut diracuni," katanya.

Menurutnya, kehadiran tikus di kediaman bukanlah sesuatu yang diinginkan namun begitu kita tidak perlu menggunakan kaedah kejam semata-mata bagi mengawal bilangan tikus.

"Pada umumnya bagi mengawal tikus, racun atau kaedah perangkap digunakan tetapi ia belum dapat mengatasi punca sebenar masalah berkenaan, iaitu tabiat buruk penduduk membuang sisa makanan dan sampah dengan sewenang-wenangnya.

"Daripada mencari kaedah membunuh tikus yang lebih kuat dan berpotensi berbahaya, satu-satunya jawapan sebenar kepada konflik kita dengan haiwan ini ialah mencari bukti dan kawasan pembiakan tikus atau keadaan yang menarik perhatiannya serta berusaha menangani punca masalah, bukannya dengan melempar tablet merata tempat sehingga membunuh haiwan lain," katanya lagi.

Menurut Mohideen lagi, CAP turut menggesa supaya diharamkan penggunaan bahan kimia toksik bagi membunuh makhluk perosak.

"Masyarakat juga perlu menjaga kebersihan rumah dan kawasan sekeliling, mengurangkan sisa makanan, mengkompos makanan, memastikan tong sampah mempunyai tudung yang ketat supaya tidak menarik perhatian tikus serta membuang tumbuhan yang tidak diingini bagi menangani masalah kehadiran tikus.

"Pekerja di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu dididik mengenai kaedah penghapusan makhluk perosak dengan berkesan," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 1:24 PM