PENDUDUK sedang memasang paip bagi keperluan air bersih tadahan air bukit bagi keperluan mereka. FOTO Ramli Ibrahim.
PENDUDUK sedang memasang paip bagi keperluan air bersih tadahan air bukit bagi keperluan mereka. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Penantian lebih 500 penduduk Kampung Pulau Setelu, dekat sini, untuk menikmati kemudahan air bersih sejak 20 tahun lalu, tercapai.

Ia susulan usaha penduduk bergotong-royong memasang paip air dari kawasan tadahan bukit sejauh tiga kilometer dari kampung terbabit.

Gotong-royong selama seminggu itu diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusof yang turut menyumbangkan paip.

Seorang penduduk, Muhamad Suki Ab Rahman, 42, berkata, masalah air bersih dihadapi penduduk kampung berkenaan tidak pernah selesai selama ini.

Berikutan itu, katanya, penduduk terpaksa mencari inisiatif sendiri bagi mengatasinya dan sambungan air bukit itu yang kedua dilakukan.

"Kemudahan air bukit yang pertama dilakukan 10 lalu kerap rosak dan tidak mencukupi bagi kegunaan semua penduduk.

"Air Sungai Nenggiri langsung tidak boleh digunakan bagi keperluan harian penduduk kerana keruh dan berselut sepanjang masa, jadi kami mengambil inisiatif ini," katanya di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk Ismail Ahmad, 56, berkata, penduduk luar bandar kebanyakannya bergantung kepada keperluan air bersih dari tadahan bukit.

"Alhamdulillah, selepas seminggu bergotong-gotong, ia dapat digunakan dengan sempurna," katanya.

Sementara itu, Ab Aziz berkata, pembinaan kemudahan air bersih tadahan bukit menjimat belanja dan digunakan secara percuma semua penduduk.

"Mungkin ada juga bayaran sekitar RM3 sebulan setiap rumah untuk isi tabung bagi memudahkan perbelanjaan kerja selenggaraan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 11:47 AM