RIANG tunjuk pengaliran air dari hakisan bukit tempat tadahan air bukit yang berselut kesan pembukaan kebun sayur. FOTO Ramli Ibrahim
RIANG tunjuk pengaliran air dari hakisan bukit tempat tadahan air bukit yang berselut kesan pembukaan kebun sayur. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Kami bukan halang buka kebun sayur, tetapi biarlah beradab dan tidak sampai memusnahkan kawasan tadahan air bukit," kata Penghulu Kampung Brooke Lama, Riang Bujang.

Dia berkata, air tadahan bukit adalah sumber bekalan air bersih utama bagi penduduk Orang Asli setiap kampung sekitar Pos Brooke dan Lojing.

Katanya, masalah berlaku apabila air Sungai Belatop tidak lagi boleh digunakan untuk keperluan harian sama ada mandi, membasuh pakaian dan memasak kerana kotor serta berselut.

"Terdapat 10 kawasan tadahan air bukit yang menjadi keperluan Orang Asli, tetapi kini terdedah kepada kerosakan apabila kebun sayur dibuka kawasan itu.

"Kami bersama penduduk selalu mencari tempat baharu untuk memasang paip tadahan bukit apabila kawasan sedia ada musnah dengan aktiviti penanaman sayur.

"Kadang-kala dalam setahun, dua atau tiga kali berpindah ke kawasan baharu kerana pengusaha kebun sayur tidak mengambil berat masalah dihadapi Orang Asli," katanya.

Riang berkata, keadaan semakin teruk pada musim hujan apabila paip kerap tersumbat dengan tanah dan pasir kesan kemusnahan kawasan tadahan air bukit.

Berikutan itu, katanya, penduduk terpaksa bergotong-royong bagi membersihkan paip tersumbat itu kerana jika tidak, bekalan air terputus.

Penghulu Kampung Sendrop, Andol Busu Jamin berkata, tadahan air bukit berhampiran kampungnya kerap rosak dan bekalan air terputus.

Katanya, sejak menggunakan air tadahan bukit 20 tahun lalu, mereka membina kawasan tadahan baharu di tiga tempat bagi mengelakkan penggunaan air berselut.

"Kami sudah muak melarang pengusaha kebun sayur supaya tidak ceroboh kawasan tadahan air bukit yang menjadi keperluan penduduk Orang Asli.

"Mereka sepatutnya faham kerana Orang Asli perlukan air bersih berikutan air Sungai Belatop tidak lagi selamat digunakan kerana terlampau kotor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 4:19 PM