Ramli Ibrahim


Gua Musang: Lebih 50 penduduk bergotong-royong hampir 10 jam membersihkan jambatan Kampung Pulau Setelu, di sini, yang dipenuhi sisa kayu dan sampah selepas ditenggelami limpahan Sungai Nenggiri, di sini, sejak petang kelmarin.

Jambatan itu dibuka semula kepada kenderaan jam 6 pagi semalam.

Jambatan sementara yang menghubungkan Gua Musang-Jeli itu tenggelam sejak jam 5 petang berikutan hujan lebat di kawasan hulu sungai berkenaan.

Tinjauan mendapati beberapa lantai besi jambatan itu hampir tercabut akibat arus deras bersama sisa kayu balak dan sampah.

Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Kamizi Jalil berkata, penduduk kampung sepakat bergotong-royong membersih jambatan yang dipenuhi sisa kayu dan sampah-sarap sejak jam 6 petang kelmarin untuk memastikan ia boleh dilalui kenderaan terkandas.

“Pada jam 7.45 malam semalam (kelmarin), air sungai mulai surut namun naik semula 15 minit kemudian hingga mencemaskan pengguna.

“Kami menunggu sehingga air surut dan kembali membersihkan jambatan itu jam 10 malam bagi mengelak sisa balak dan sampah yang tersekat di jambatan itu menghalang laluan.

“Alhamdulillah, selepas 10 jam bergotong royong, jambatan itu dibuka jam 6 pagi tadi (semalam),” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan puluhan kenderaan terkandas di Kampung Pulau Setelu, di sini, apabila jambatan merentasi Sungai Nenggiri yang menghubungkan Gua Musang dan Jeli tenggelam berikutan hujan lebat.

Penduduk, Mohd Nawi Yusoff, 41, berkata, dia dan penduduk kampung bertanggungjawab memastikan laluan jambatan terhalang dengan sisa kayu dibersihkan segera.

“Kami hampir tak tidur malam tadi menunggu air sungai surut untuk membuang sisa kayu ini daripada menghalang laluan.

“Tak tahulah sampai bila masalah ini berlarutan dan harapan kami kerajaan dapat membina jambatan konkrit yang lebih sempurna selain memastikan kejadian itu tidak berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 9:17 AM
 Penduduk kampung membuang longgokan sampah di  jambatan Kampung Pulau Setelu akibat limpahan air sungai.
Penduduk kampung membuang longgokan sampah di jambatan Kampung Pulau Setelu akibat limpahan air sungai.