SELAT Tebrau (gambar sekadar hiasan). FOTO Arkib NSTP
SELAT Tebrau (gambar sekadar hiasan). FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Foto : tiada

Johor Bahru: Pejabat Perikanan Johor memaklumkan tidak pernah melarang orang awam di negeri ini untuk memakan ikan dan kerang-kerangan berikutan kemunculan fenomena Ledakan Alga Berbahaya (HAB) di Selat Tebrau.

Pengarah Perikanan Johor, Noraishah Hashim mengakui pihaknya ada mengeluarkan notis peringatan di laman sosial Facebook pejabat itu Ahad lalu, mengenai kemunculan HAB dari spesies alexandrium minutum di Selat Tebrau.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat salah faham sehingga panik dan takut untuk membeli ikan dan kerang-kerangan di pasaran berikutan kemunculan fenomena itu.

Menurutnya, fenomena HAB itu berlaku di Perairan Kuala Masai-Teluk Jawa di Selat Tebrau Timur sahaja, ia tidak berlaku di keseluruhan perairan Johor.

"Notis itu dikeluarkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berjaga-jaga tentang kehadiran alga berbahaya berkenaan dan mohon bekerjasama dengan pejabat ini dengan melaporkan segera sekiranya terdapat tanda-tanda kemunculan alga ini.

"Buat masa ini, pejabat (Perikanan Johor) masih memantau kawasan perairan terbabit dan sekitarnya walaupun keadaan kembali kepada sedia kala," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebarang maklumat boleh menghubungi Pejabat Perikanan Johor di talian 07-5104808/4722 atau faks di talian 07-5095372

Sebelum ini, pejabat itu mengeluarkan notis peringatan kemunculan HAB dengan menyatakan hasil analisis makmal yang diperoleh pada 25 Ogos lalu mendapati bacaan sel alexandrium minutum mencecah 3,000 sel per liter dan ledakan merebak ke perairan sekitar.

Alexandrium minutum adalah spesis dinoflagellate toksik yang menyebabkan keracunan paralitik dalam kerang-kerangan.

Sekiranya kandungan toksik dalam kerangan terlampau tinggi, ia boleh menyebabkan kekejangan atau kesukaran bernafas seterusnya membawa kepada kematian kepada manusia yang memakannya.

Notis itu turut memaklumkan akan melakukan pemantauan kerap dan berterusan bagi memastikan fenomena itu dalam kawalan.

Komuniti nelayan, pengusaha akuakultur dan orang awam diharap dapat melaporkan dengan segera sekiranya terdapat tanda kemunculan HAB seperti air berwarna merah dan kematian ikan atau kupang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 12:14 PM