GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Hasil kerang-kerangan yang dijual di pasaran negeri ini tidak tercemar dan selamat untuk dimakan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang, tambahan pula kerajaan negeri tidak membawa masuk hasil kerang-kerangan dari Perairan Geting, Tumpat, Kelantan yang dilaporkan dicemari toksin saraf (saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu alexandrium minutum baru-baru ini.

"Perak mempunyai pendaratan kerang yang tinggi berbanding negeri lain di Malaysia iaitu 14,860 tan metrik tahun lalu, justeru kebanyakan kerang dalam pasaran di negeri ini dari sumber tempatan dan sedikit dari Selangor serta Pulau Pinang.

"Jadi penduduk Perak tidak perlu bimbang, lagi pula hasil kerang-kerangan di Kelantan rendah dan hanya dipasarkan ke pasaran tempatan dalam Kelantan sahaja, ia tidak dibawa masuk ke Perak," katanya selepas Majlis Penyerahan Kit Kebun Bandar/Kebun Kita Peringkat Daerah Kerian 2021, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pertanian Perak Norsiyenti Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selinsing Mohamad Noor Dawoo.

Ditanya mengenai berita tular yang mengatakan premis di Ipoh membawa masuk dan menjual kerang-kerangan jenis etok yang dari Tumpat, Razman berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.

Menurutnya sehingga kini hasil kerang-kerangan di Perak masih selamat dimakan dan tiada kes pencemaran alga berbahaya dari spesis 'alexandrium minutum' direkodkan di perairan negeri ini.

"Berhubung (berita) tular itu kita tidak mempunyai sebarang maklumat dan saya menasihatkan pengguna lebih berhati-hati dan bertanya dari penjual dari mana sumber kerang-kerangan itu diperoleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 12:57 PM