GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Tumpat: Orang ramai yang menunjukkan gejala tidak sihat selepas memakan kerang-kerangan yang dikutip atau dibeli di sekitar Pantai Geting, di sini dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan.

Jabatan Perikanan Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, hasil analisis sampel spesies itu mendapati ia tidak selamat untuk dimakan kerana tercemar dengan racun Saxitoxin.

Jelas jabatan itu, racun itu terhasil daripada rebakan alga berbahaya dikenali Alexandrium minutum yang dikesan berlaku di Sungai Getting, di sini pada 3 Oktober lalu.

"Pejabat Perikanan Negeri Kelantan sudah mengeluarkan notis larangan mengutip dan menjual kerang-kerangan di kawasan berkenaan.

"Namun, kami menasihati mana-mana individu yang mempunyai gejala seperti kesemutan atau kebas deria rasa, sakit kepala, demam, ruam, pening, loya dan masalah usus seperti cirit-birit yang kerap selepas memakan kerang-kerangan itu supaya segera mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan bertauliah," kata kenyataan itu.

Kejadian rebakan alga terbabit pernah berlaku di kawasan pantai berkenaan beberapa kali sebelum ini dan papan tanda amaran dinaikkan di situ sebagai peringatan kepada penduduk.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:01 PM