NELAYAN menjalankan aktiviti menangguk kerang.
NELAYAN menjalankan aktiviti menangguk kerang.
Mohamad Hussin

Johor bakal menjadi hab utama pengeluaran kerang di negara ini bagi mengelak kepupusan spesies berkenaan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan memberi fokus utama kepada daerah Pontian dan akan mewartakannya sebagai kawasan kerang.

Apatah lagi Johor mempunyai kekuatan tersendiri dalam pembangunan industri perikanan dan akuakultur berdasarkan potensinya sebagai satu-satunya negeri di negara ini yang mempunyai tiga perairan laut iaitu Laut China Selatan, Selat Melaka dan Selat Tebrau.

MOA melalui Jabatan Perikanan (DOF) menyasarkan pengeluaran akuakultur sebanyak 1.443 juta tan metrik menjelang 2020 apabila kerang-kerangan berpotensi dalam menyumbang 45,000 tan metrik bagi mencapai sasaran itu.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, secara amnya benih kerang dijumpai di kawasan Pontian sepanjang tahun.

SALAHUDDIN melihat hasil tangkapan kerang.
SALAHUDDIN melihat hasil tangkapan kerang.

Beliau berkata, kawasan berpotensi bagi ternakan kerang-kerangan yang sudah dikenal pasti di Pontian termasuk Sungai Besar (Ayer Baloi) dan Rimba Terjun (Teluk Kerang), Api-Api serta Serkat.

“Pada 2016, sebanyak 1,260 tan metrik kerang-kerangan dihasilkan melalui aktiviti akuakultur. Pengeluar kerang paling tinggi dan berkualiti adalah dari daerah Pontian (907 tan metrik).

“Sejak 10 tahun kebelakangan ini, sejumlah 26 peratus penurunan pendaratan dicatatkan di negeri pengeluar kerang utama iaitu Selangor dan Perak.

“Kini Johor antara pengeluar kerang-kerangan utama di Malaysia selain Selangor dan Perak yang mengalami isu peningkatan kadar kematian semula jadi akibat perubahan kualiti habitat, perubahan alam sekitar serta pencemaran bahan kimia tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ramah mesra bersama nelayan di Pengkalan Nelayan Ayer Baloi, Pontian, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MOA Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF Datuk Dr Bah Piyan Tan dan Pegawai Daerah Pontian Mohd Shukri Md Masbah.

Pada majlis itu, Salahuddin turut menyerahkan bantuan ‘touch point’ kepada 27 nelayan membabitkan tiga pangkalan nelayan iaitu Kukup, Benut dan Pulai Sebatang.

Menurutnya, potensi hiliran industri kerang-kerangan ini dapat menjana pendapatan lumayan kepada nelayan yang mengusahakan kerana harga kerang diproses (RM30/kilogram) meningkat tiga kali ganda daripada harga kerang yang belum diproses (RM10/kg).

SEORANG nelayan menerima bantuan ‘touch point’ daripada Salahuddin (kanan).
SEORANG nelayan menerima bantuan ‘touch point’ daripada Salahuddin (kanan).

“Pengurusan sumber kerang dilaksanakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan Dan Kultur Kerang) 2002 bagi menjamin sumber kerang negara.

“Di bawah Dasar Pelesenan Perikanan, lesen pengutipan kerang dikhaskan untuk nelayan berlesen setempat. Di samping itu pembabitan komuniti nelayan dan industri hiliran akan dibangunkan berasaskan konsep komuniti.

“Melalui pembentukan Plan Pengurusan Ternakan Kerang (FMP) dijangka dapat meningkatkan lagi hasil pengeluaran kerang secara menambah baik peraturan berkaitan penuaian, musim tangkapan, pengezonan kawasan yang dibuat secara persetujuan bersama pihak berkepentingan,” katanya.

Katanya, pembangunan secara bersepadu kerang di Johor menjadikan negeri itu sebagai hab kerang pada masa akan datang.

“Satu pelan pembangunan kerang-kerangan bagi Johor akan dirangka termasuk cadangan merizabkan kawasan industri kerang sebagai zon industri akuakultur kerang.

“Ia termasuk mewartakan kawasan pembenihan kerang yang dikenal pasti serta menyediakan kemudahan bersepadu ternakan termasuk infrastruktur asas.

“Bagi tujuan keselamatan makanan, aktiviti survelan dan penyampelan kerang-kerangan melalui National Shellfish Sanitation Program (NSSP) dilaksanakan bagi memastikan kerang yang dihasilkan berkualiti dan selamat dimakan.

“Program pemantauan menunjukkan tiada pelanggaran terhadap parameter pada kerang-kerangan yang dianalisis dan memenuhi piawai eksport,” katanya.

Salahuddin berkata, pembabitan semua pihak berkepentingan termasuk komuniti nelayan akan dilaksanakan secara bersama bagi memastikan kejayaan pembangunan memenuhi aspirasi semua pihak yang berkaitan.

NELAYAN menjalankan aktiviti menangguk kerang.
NELAYAN menjalankan aktiviti menangguk kerang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 1:11 PM