ANTARA Pati yang berjaya ditahan. FOTO Ihsan ATM.
ANTARA Pati yang berjaya ditahan. FOTO Ihsan ATM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEMBUNYI di hutan selepas mendarat. Itu taktik lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia termasuk dua wanita bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik itu berjaya dikesan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) Kem Terendak Melaka selepas mengesan pergerakan bot hasil maklumat melalui pengesanan radar Kenderaan Perisai (KP) GEMPITA pasukan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) di Tanjung Lompat, Desaru, Johor hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, bot berkenaan dikesan bergerak laju dari Punggai ke Desaru pada 3.30 pagi.

"Anggota pos pemerhati ternampak sebuah bot merapat ke persisiran pantai Tanjung Lompat, Desaru, pada 4.45 pagi.

"Mereka dipercayai mengambil Pati dan mengesan beberapa kelibat pergerakan keluar dari semak menuju ke perairan," katanya.

Menurutnya, susulan itu anggota pos pemerhati membuat serbuan sebelum menahan warga asing yang baru turun dari bot dan bersembunyi di hutan berhampiran.

"Terdapat lima lagi warga asing dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke Indonesia juga berjaya ditahan.

"Pada 5 pagi, kumpulan menggeledah juga berjaya menahan ke atas dua lagi warga asing yang bersembunyi di kawasan hutan kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya menahan lapan Pati terdiri daripada dua wanita dan enam lelaki berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun.

"Pasukan juga merampas 11 telefon pintar, wang tunai berjumlah RM6,885 dan Rupiah Indonesia 7,506,000.00 (RM 2,168) menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM15,000.

"Kawalan keselamatan di persisiran pantai akan diteruskan dan semua Pati berkenaan akan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 11:55 AM