WARGA Indonesia yang ditahan. FOTO ihsan ATM
WARGA Indonesia yang ditahan. FOTO ihsan ATM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kesan tapak kaki di pesisir pantai merungkai kehadiran lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang mendarat di Pesisir Pantai Kompleks Rakan Muda, Desaru, Johor, hari ini.

Bagaimanapun, kepakaran Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) Pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) yang menjejak kesan tapak kaki itu menemui lokasi persembunyian kumpulan Pati berkenaan.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, susulan itu satu serbuan dijalankan pada 4.30 pagi dan lapan Pati ditahan terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita warga Indonesia berusia 18 hingga 49 tahun.

"Pada awalnya pos kawalan mendengar bunyi bot di kawasan berkenaan sebelum mengesan tapak kaki di kawasan pesisir pantai.

"Mereka didapati bersembunyi di kawasan hutan berhampiran sebelum ditahan," katanya.

Menurutnya, pasukan serbuan turut merampas wang tunai pelbagai jenis bernilai RM7,930 dan 10 telefon pintar.

"Semua warga asing itu dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk dibuat pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 1:12 PM