Antara Pati yang ditahan 3 Divisyen berhampiran CIQ, Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru pagi hari ini. Foto Ihsan ATM
Antara Pati yang ditahan 3 Divisyen berhampiran CIQ, Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru pagi hari ini. Foto Ihsan ATM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Cubaan 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia cuba masuk ke negara ini melalui jalan tidak sah ditahan pada awal pagi hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, anggota di Pos Pemerhati yang sedang membuat pemantauan mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan paya berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru pada 2.28 pagi.

Menurutnya, kumpulan ronda kemudiannya cuba menjejakinya sebelum ditemukan seorang wanita sedang bersembunyi di kawasan itu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati wanita warga Indonesia itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan pas perjalanan serta mengakui baru masuk ke negara ini menggunakan laluan masuk yang tidak diwartakan.

"Susulan maklumat itu, anggota ronda mengatur gerakan 'Quick Reaction Force' (QRF) bersama pasukan dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bagi menjejaki dan mengepung kawasan berkenaan," katanya kenyataan itu.

Menurutnya, pasukan QRF berjaya menahan 16 lagi Pati yang terdiri daripada tiga lelaki dan 13 wanita sedang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran pada 3 pagi dipercayai sedang menunggu kenderaan tekong untuk dibawa keluar dari kawasan itu.

"Pada 7.15 pagi, hasil daripada sumber risikan dan siasatan ke atas kesemua mereka itu berjaya menahan dua lagi Pati sedang bersembunyi di kawasan belukar berhampiran jalan menghala ke Desaru.

"Kesemua 19 Pati yang terdiri daripada lima lelaki dan 14 wanita warga Indonesia berusia 28 hingga 40 tahun dipercayai baru masuk ke negara ini menggunakan laluan masuk yang tidak diwartakan," katanya.

Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan bernilai RM27,4577.20 membabitkan wang tunai Ringgit Malaysia sebanyak RM13,788.60 dan mata wang Indonesia berjumlah 6,631,893.75 rupiah (RM1,874.27), 17 telefon bimbit serta barangan kemas.

"Kesemua Pati itu kemudiannya dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 7:57 PM