Lokasi kejadian kemalangan maut membabitkan lelaki warga emas di Kampung Sedar di Tumpat hari ini. Foto Ihsan PDRM
Lokasi kejadian kemalangan maut membabitkan lelaki warga emas di Kampung Sedar di Tumpat hari ini. Foto Ihsan PDRM
Siti Rohana Idris

WARGA emas maut selepas dilanggar sebuah kenderaan di simpang tiga di Kampung Sedar di Tumpat hari ini.

Dalam kejadian pada jam 2.15 petang itu, Tuan Soh Raja Dollah, 61, menghembuskan nafas terakhir di hospital ketika sedang menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke Wakaf Bharu dari rumahnya di Kampung Kelaboran.

"Sebuah kereta yang datang dari Kampung Laut ingin ke arah Tumpat berhenti di simpang lokasi kejadian.

"Pemandu kereta yang berusia 21 tahun itu terus membelok ke kanan dan mangsa datang dari sebelah kanan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu wanita itu tidak sempat membrek lalu berlanggar," katanya ketika dihubungi.

Ab Rashid berkata, mangsa yang tercampak di atas jalan dibawa ke Hospital Tumpat dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian disebabkan parah di kepala.

Menurutnya, pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 10:12 PM