LIMAH menunjukkan budu bersama ulam yang disediakan di PPS SK Kelaboran.
LIMAH menunjukkan budu bersama ulam yang disediakan di PPS SK Kelaboran.
HM Digital

Tumpat: “Setiap kali mindoh (pindah) mak cik tak tinggal budu,” kata penduduk Kampung Kubang Sawa, Limah Samah, 80, salah seorang mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kelaboran di sini, kelmarin.

Rata-rata mangsa banjir yang ditemui mengakui membawa budu sebagai pembuka selera sepanjang mereka berada di PPS.

Penduduk mengambil inisiatif sendiri membawa makanan tradisional itu biarpun pelbagai makanan sudah disediakan secara percuma kepada mereka di PPS.

Limah berkata, setiap kali musim tengkujuh, rumahnya sentiasa dinaiki air dan dia berpindah ke PPS SK Kelaboran.

Setiap kali berpindah ke PPS, antara barang yang wajib dibawanya ialah budu untuk dimakan bersama makanan yang disediakan di PPS.

“Makan nasi dengan budu di sini lebih ‘jeligho’ (selera) berbanding di rumah. Setiap kali makan nasi, budu mesti ada kerana ia pembuka selera dan cukup enak jika dikongsi bersama teman yang lain.

“Ketika dipindahkan ke sini, anak mak cik (Rahimah Hussin, 33) sudah membeli beberapa botol budu sebagai bekalan,” katanya yang berpindah ke PPS sejak minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Syarifah Zarah Syed Ahmad berkata, segala keperluan mangsa banjir sudah dipenuhi pihaknya termasuk membekalkan budu kepada PPS SK Kelaboran.

“Kita sudah bekalkan sebanyak 10 dozen budu di PPS ini atas permintaan mangsa banjir.

“Selera orang Kelantan unik, tanpa budu mereka tidak berselera untuk makan, jadi kita penuhi permintaan mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:30 AM